SINGAPURA – Pasaran saham global menjunam pada Jumaat, sekali gus mengakhiri prestasi baik sejak beberapa tahun lepas disebabkan oleh penjualan panik dalam hampir kesemua kelas aset akibat penularan wabak Covid-19.

Nampak gayanya, setengah trilion dolar tunai daripada Rizab Persekutuan tidak mencukupi untuk menenangkan ketakutan yang melanda para pelabur ketika ini.

Sejumlah AS$14 trilion dolar telah hilang daripada pasaran saham dunia dalam tempoh sebulan.

Hari ini, pasaran saham Japan merudum manakala bursa saham dari Seoul hingga Jakarta mencecah paras had terendah circuit breaker.

Nikkei jatuh serendah 10 peratus dan menuju ke arah minggu terburuk sejak krisis kewangan 2008. Tiada satu pun saham dalam indeks tersebut positif.

Kerugian turut dialami di luar Jepun menyebabkan Indeks Asia Pasifik, MSCI kembali ke paras tahun 2017.

Minyak dan emas juga jatuh malah bon-bon kerajaan juga rugi apabila para pelabur mencairkan apa sahaja yang dimiliki mereka bagi menutup kerugian.

Situasi ini adalah yang paling teruk sejak Black Monday pada 1987.

“Ini adalah reaksi kepada takut dan panik.

“Ia merupakan salah satu situasi di mana terdapat terlalu banyak ketidaktentuan yang mana seseorang itu tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas.

“Ia adalah situasi melawan atau lari dan kebanyakan pelabur memilih untuk lari,” kata penganalisis saham di Commsec, Sydney, James Tao.

Indeks penanda aras Australia jatuh lapan peratus dan bersiap sedia untuk mencatatkan rekod mingguan terburuk manakala mata wang won Korea Selatan juga menjunam dengan Kospi jatuh 7.7 peratus.-Agensi