KUALA LUMPUR – Wirawati parti Putra Malaysia menggesa Kementerian Kewangan menambah peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi melancarkan tugasan kakitangannya dalam menangani wabak Covid-19.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, dengan peruntukan tambahan itu, Kementerian Kesihatan boleh membekalkan topeng penutup mulut secukupnya, menyediakan gaun keselamatan untuk kakitangan kesihatan, bekalan ubat-ubatan dan peralatan sokongan.
“Ini bukan isu politik, tapi mengenai kesihatan dan kebajikan rakyat. Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada kakitangan profesional dan sokongan Kementerian Kesihatan yang bertugas siang malam membantu merawat pesakit Covid-19.
“Tanpa mereka, tidak mungkin Covid-19 boleh dikawal. Jadi, Wirawati memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan agar wabak itu dapat ditangani lebih efektif,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Menurut Dr. Asmah, dari pemerhatiannya Kementerian Kesihatan telah menjalankan tugas dengan berkesan sekali dan Malaysia satu-satunya negara di dunia ini yang berjaya menyembuhkan ramai pesakit Covid-19.
Beliau juga menggesa orang ramai mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mencegah wabak itu daripada dijangkiti.

“Pencegahan sangat penting dalam penularan satu-satu wabak, dan jika kita pergi ke negara yang dijangkiti, balik ke tanah air ataupun ketika kita dalam negara dan mempunyai simpton seperti demam, batuk selesema, batuk ataupun merasa tidak sihat harus segera mendapatkan rawatan.
“Ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklafikasikan Covid-19 sebagai pandemik.
“Pandemik ialah kejadian wabak besar-besaran di seluruh dunia, merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar, kebiasaannya melibatkan jangkitan penyakit baru. Pandemik ini melibatkan serangan yang tinggi dalam masa yang singkat dan menyebabkan kematian.
“Menjadi tanggungjawab kita rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu Kementerian Kesihatan dan jadilah rakyat yang bertanggungjawab. Jika tidak sihat pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan, ambil langkah pencegahan,” katanya.
Dr. Asmah turut berkongsi langkah pencegahan iaitu sentiasa membawa topeng penutup mulut, elak mengunjungi tempat orang ramai, makan produk haiwan tidak dimasak, elak melawat ladang haiwan, pasar haiwan hidup, tempat sembelihan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
Beliau juga menggesa syarikat gergasi turut menghulurkan sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat ke sekolah, hospital mahupun Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette
















