Gambar CTV News

KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 di 107 negara bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan, sukan, pengangkutan serta industri berkaitan malah turut menjejaskan industri hiburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinema Landmark, Bill Walker dalam kenyataan di laman webnya memberitahu berlaku penurunan penonton yang mendadak sejak penularan wabak.

“Menerusi sistem atas talian untuk tempahan awal di panggung wayang mendapati penurunan mendadak tempahan tempat duduk berpasangan (love seat) sebaliknya ramai memilih tempat duduk berasingan yang jarak antara satu sama lain.

“Pembersihan di kawasan umum akan ditingkatkan dan polisi pengisian semula makanan akan dilaksanakan yang bermakna setiap beg dan cawan akan beri setiap kali isian semula dilakukan ,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Cineplex Sarah Van Lange juga memberitahu pihaknya juga mengalami situasi sama.

“Penurunan penonton yang mendadak di 1,693 panggung wayang dan auditorium di seluruh Kanada.

“Dengan penurunan itu, kami menyediakan pilihan tempat duduk yang mereka rasa selamat dengan jarak sosial yang selamat,” katanya kepada CTV News.

Pegawai Kesihatan memberi cadangan jarak sosial yang selamat antara satu sama lain bagi mengurangkan risiko penyebaran virus.

Bercakap kepada The Hollywood Reporter, Ketua Pegawai Eksekutif AMC Theatre, Adam Aron memberitahu AMC juga mengurangkan 50 peratus kapasiti di dalam auditorium bagi mematuhi saranan pegawai kesihatan untuk menetapkan jarak sosial yang selamat atau “social distancing”.

Filem blockbuster seperti A Quiet Place Part 11, Mulan dan F9 turut ditangguhkan tayangan sehingga dimaklumkan kelak.

Kerajaan India pula mengarahkan supaya semua panggung wayang di Delhi ditutup sehingga 31 Mac.

Sementara itu, tinjauan penulis ke panggung wayang tanah air juga mendapati pengunjung sangat berkurang di dalam panggung walaupun tayangan filem yang hebat.

Menurut kakitangan panggung itu, pengunjung amat kurang walaupun pada hari Sabtu dan Ahad.

Tempahan awal atas talian filem hebat seperti Bloodshot dan Fantasy Island juga menunjukkan kurang sambutan sejak beberapa hari kebelakangan ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.