Salim Bashir

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam meminta kerajaan baharu terus mempertahankan agenda undang-undang yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini antaranya meneruskan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional, terdapat beberapa pihak yang meminta supaya IPCMC dibatalkan.

Menurut Presidennya, Salim Bashir Bashkaran, ia merupakan salah satu daripada hasrat badan tersebut selain mahukan kerajaan menghapuskan undang-undang yang menindas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dan Akta Hasutan serta mengasingkan Jabatan Peguam Negara dengan Jabatan Pendakwa Raya.

“Kami berharap dapat menjalinkan kerjasama yang bermanfaat dengan kerajaan baharu dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Saya juga meminta supaya kerajaan boleh mentadbir negara ini dengan cara berhemah demi kepentingan rakyat dan di sebalik pandemik global, kami menggesa kerajaan supaya pulihkan semula ekonomi negara, hapuskan undang-undang yang menindas seperti SOSMA, Akta Hasutan dan undang-undang drakonian di samping menegakkan keadilan sosial melalui undang-undang yang terhadap golongan yang lemah seperti wanita, kanak-kanak, orang Asli dan individu tanpa negara,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan badan tersebut hari ini.

Menurut Salim, mereka mempunyai senarai yang panjang untuk dikemukakan kepada kerajaan bagaimanapun perlu dibincangkan dalam mesyuarat agung akan datang.

Ini kerana, semua usul yang patut dibentangkan hari ini termasuk menghalang perkahwinan kanak-kanak terpaksa ditunda ke mesyuarat akan datang kerana tidak cukup korum.

Mesyuarat Agung kali-74 itu merekodkan sejarah tersendiri apabila mencatatkan kehadiran terendah dan mesyuarat paling singkat disebabkan penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, setakat 12.15 tengahari hanya 87 peguam yang hadir ke mesyuarat tersebut sedangkan ahli Majlis Peguam dianggotai hampir 20,000 orang.

Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada jam 10 pagi itu terpaksa ditangguhkan selama lebih dua jam dan hanya berlangsung kira-kira sejam setengah sahaja.

Mereka hanya membincangkan beberapa perkara antaranya minit mesyuarat, laporan dan akaun sahaja manakala semua usul akan dibentangkan dalam satu mesyuarat yang belum diputuskan tarikh lagi.

“Akta kami membenarkan mesyuarat agung hari ini berlangsung walaupun tidak cukup korum tetapi kami hanya berbincang beberapa perkara sahaja.

“Semua usul akan dibawa ke mesyuarat akan datang selepas wabak ini reda. Tiada tarikh yang ditentukan lagi,” katanya lagi.-MalaysiaGazette