PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara ingin membebaskan rakannya yang ditahan polis kerana memiliki rokok seludup, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan, kerana disyaki cuba merasuah seorang anggota polis dengan wang RM5,000.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Arsad Kamaruddin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu, ditahan pada 10.24 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, ketika cuba merasuah anggota polis berkenaan, di balai polis tersebut.

Katanya, suspek telah datang ke IPD berkenaan untuk berbincang mengenai penahanan rakannya itu, sebelum cuba merasuah anggota polis yang sedang bertugas, dengan mengeluarkan sejumlah wang.

Anggota polis tersebut kemudian memberikan amaran bahawa beliau boleh ditangkap atas perbuatan cuba merasuah pihak berkuasa, namun  amaran itu tidak diendahkan lelaki Bangladesh itu.

“Pengadu (anggota polis) telah memberi amaran lagi mengenai kesalahan memberi rasuah dan kemudian terus merampas wang tunai RM5,000 serta tangkap penama (suspek),” katanya kepada Bernama hari ini.

Arsad berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berkenaan manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sehubungan dengan itu, pihak polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak memberi rasuah kepada pegawai atau anggota polis  dan tindakan tegas akan diambil sekiranya disabitkan kesalahan. – Bernama