Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur akan terus menilai impak daripada pandemik COVID-19 minggu depan dalam keadaan kebimbangan mengenai kemelesetan dan harga minyak mentah rendah sementara mereka menunggu butiran mengenai kemungkinan pelarasan kepada pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM20 bilion.

Impak daripada tiga faktor itu akan turut menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah daripada jangkaan dan meningkatkan defisit negara, kata penganalisis.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan unjuran pertumbuhan KDNK yang lebih rendah sebanyak 3.6 peratus hingga 4.0 peratus untuk negara pada tahun ini, merosot daripada unjuran awal sebanyak 4.8 peratus.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa rantaian bekalan global akan terus terganggu berikutan COVID-19, manakala minyak mentah Brent dijangka jatuh kepada US$20 setong, justeru memerlukan kerajaan mempercepatkan pelaksanaan pelan rangsangan fiskalnya.

Sependapat dengan pandangan ini, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pada masa ini, langkah untuk menerapkan keyakinan dalam kalangan pelabur amat penting.

“Kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan pakej rangsangan fiskal supaya permintaan domestik akan terus berkembang dan mengimbangi kelemahan dari luar negara. Saya menjangka permintaan terhadap instrumen selamat seperti bon atau sukuk akan menjadi pelaburan yang amat dicari walaupun hasilnya rendah.

“Apa yang penting sekarang ialah memelihara modal atau prinsip pelaburan. Kita akan terus menyaksikan peralihan dalam permintaan daripada aset yang berisiko seperti ekuiti kepada bon atau sukuk,” katanya.

Walaupun tempoh pandemik masih belum diketahui, Mohd Afzanizam berkata jumlah kes yang pulih di seluruh dunia sebanyak 66,251 kes, atau 55 peratus daripada 120,772 kes yang disahkan di 114 negara.

Malaysia mencatatkan 39 kes COVID-19 yang baharu pada Jumaat, menjadikan jumlahnya kepada 197 kes.

“Itu agak baik dan kita tidak boleh menolak pemulihan berbentuk V akan berlaku. Kejatuhan harga ekuiti telah membawa kepada nilai wujud untuk saham berkualiti tinggi.

“Oleh itu, mungkin terdapat peluang membeli juga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pelaburan jangka panjang,” katanya, sambil menambah mungkin terdapat satu lagi pusingan pengurangan kadar oleh Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata, minggu depan, indeks komposit akan berada pada sekitar 1,340 hingga 1,350 dengan paras sokongan akan datang pada 1,247 mata.

Pada carta global, Dow Jones, S&P 500 dan Nasdaq, masing-masing merosot 10 peratus pada Khamis, manakala beberapa indeks pasaran sedang pesat membangun merosot dan mencetuskan sistem amaran awal, termasuk India, Thailand dan Filipina.

Dow Jones jatuh 9.99 peratus manakala S&P 500 merosot 9.51 peratus — kejatuhan harian yang paling ketara sejak 1987, didorong oleh jualan semalaman yang meluas di Wall Street selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Di peringkat tempatan, dalam keadaan dagangan yang turun naik, FBM KLCI merosot banyak mata (97.20) pada pagi Jumaat sebelum dagangan ditutup dengan susut 74.68 mata kepada 1,344.75 (paras terakhir dilihat pada Julai 2010), belian oleh institusi tempatan menjadi penampan, dan tiada dagangan dihentikan.

Bursa Malaysia melaksanakan sistem amaran awal pada Mac 2002, akan diaktifkan secara automatik apabila indeks petunjuk pasaran mencatatkan kemerosotan sebanyak 10 peratus daripada paras ditutup pada hari sebelumnya.

Kebimbangan mengenai COVID-19 turut mendorong Rizab Persekutuan AS untuk mengambil langkah dan mengumumkan untuk menyuntik mudah tunai sehingga US$1.5 trilion dalam pasaran kewangan untuk menenangkan pasaran.

Minggu dagangan yang baru berakhir turut menyaksikan tekanan jualan dalam saham indeks utama yang mempengaruhi pasaran tempatan, diterajui oleh kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan, permodalan kecil, pembinaan, kewangan dan perladangan.

Bagi minggu depan, pelabur tempatan dan asing akan menumpukan kepada dasar ekonomi baharu kerajaan Malaysia menjelang mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang pertama, bertujuan menangani masalah ekonomi yang dihadapi negara.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 138.35 mata kepada 1,344.75 daripada 1,483.10 sebelum ini.

Indeks FBM Emas susut 1,118.56 mata kepada 9,326.41, Indeks FBMT 100 berkurangan 1,055.27 mata kepada 9,218.96 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 1,135.36 mata kepada 9,984.99.

FBM 70 merosot 1,707.35 mata kepada 11,010.23 dan Indeks FBM ACE susut 953.18 mata kepada 4,291.99.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 1,514.22 mata kepada 12,822.34, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 24.56 mata kepada 110.67 dan Indeks Perladangan turun 885.53 mata kepada 5,847.51.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 25.01 bilion unit bernilai RM17.67 bilion daripada 15.85 bilion unit bernilai RM12.51 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 18.12 bilion saham bernilai RM16.47 bilion berbanding 9.97 bilion unit bernilai RM11.31 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.33 bilion unit bernilai RM353.72 juta daripada 2.04 bilion unit bernilai RM341.76 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 4.64 bilion saham bernilai RM838.56 juta daripada 3.83 bilion saham bernilai RM852.22 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette