Foto hiasan - Seorang pelawat melakukan saringan suhu badan bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

PETALING JAYA – Polis daerah Petaling jaya akan membantu Jabatan Kesihatan Petaling mengesan dan menjejaki suspek Covid-19 supaya mereka tampil menjalani ujian saringan.

Ketua Polisnya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, itu antara langkah dan peranan polis untuk membantu para pegawai kesihatan dalam menangani penularan virus pandemik itu.

Justeru katanya, segala perhimpunan dan perjumpaan penduduk di daerah itu telah ditangguhkan.

Ketua Polis Daerah PJ, Asisten Komisioner Nik Ezanee

“Hanya perjumpaan penduduk secara individu dan kecil-kecilan sekiranya sangat mendesak dibenarkan dengan pemantauan kesihatan.

“Kita juga menasihati anggota kita dan juga masyarakat di daerah ini supaya sentiasa menggunakan topeng mulut dan hidung serta amalan kebersihan diri menggunakan cecair pembasmi kuman,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, segala kerjasama dan pemantauan dalam menjejaki suspek Covid-19 akan dilaksanakan demi menjaga kebimbangan dan kesihatan masyarakat secara menyeluruh.

“Malah kami akan mengadakan mesyuarat kordinasi pada 17 Mac, Selasa ini.

“Ia adalah bertujuan membincangkan peranan PDRM, bomba, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Jabatan Kesihatan petaling dalam menghadapi pandemik Covid-19,” tegasnya. – MalaysiaGazette