Segala kejohanan tenis seluruh dunia digantung sehingga Mei ini.

LONDON – Tidak akan ada sebarang kejohanan tenis profesional yang akan diadakan di seluruh dunia sehingga 20 April ini.

Itu keputusan penganjur Jelajah ATP yang telah menghentikan segala aksi tenis selama enam minggu ekoran ancaman kesihatan oleh Covid-19.

“Ini bukan keputusan yang boleh diambil ringan kerana melibatkan kesihatan semua walaupun mengecewakan semua pihak.

“Bagaimanapun kami percaya tindakan bertanggungjawab ini diperlukan pada saat ini untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pemain, kakitangan dan komuniti peminat tenis yang kini menghadapi pandemik global yang amat bahaya.

“Kami akan terus memantau situasi Covid-19 dan akan kembali menganjurkan kejohanan apabila situasi menunjukkan petanda ke arah kembali beransur pulih,” kata Pengerusi ATP Andrea Gaudenzi.

Kenyataan itu menyaksikan kejohanan tenis wanita WTA juga telah digantung melibatkan di Miami, Guadalajara, Charleston dan Bogota untuk lima minggu.

WTA dalam kenyataan media menjelaskan kesemua tindakan itu diambil untuk mengelak insiden luar jangkaan daripada aspek kesihatan pemain, kakitangan dan penyokong.

Kesan penggantungan kejohanan tenis di peringkat rangking dunia akan dipantau secara berhati-hati.

Dengan penggantungan segala kejohanan tenis di serata dunia, dua kejohanan yang sedang berlangsung iaitu di Kazakhstan dan Afrika Selatan tidak akan dilengkapkan dan terus dihentikan.-MalaysiaGazette