Pesakit Covid-19 perlu kerap sanitasi tangan.

KUALA LUMPUR- Menyedari sejak awal penularan Covid-19, pasangan suami isteri warga emas mengambil inisiatif meminta anak-anak mereka untuk menyimpan stok topeng muka daripada awal.

Ini kerana menurut Kamaliah Ibrahim, 70, dan suaminya Jalaludin Said, 70, telah menjangka harga topeng muka akan meningkat atau risiko yang boleh terjadi adalah stok di pasaran akan habis disebabkan oleh permintaan semakin banyak.

Temubual bersama Jalaludin Said,70, berikutan penularan wabak koronavirus Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

Bagaimanapun, pemerhatian Kamaliah mendapati apa yang berlaku kini adalah kesukaran untuk mendapatkan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di farmasi atau mana-mana pasar raya.

Temubual bersama Kamaliah Ibrahim, 70, berikutan penularan wabak koronavirus Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

Jika ada, harganya pula yang semakin meningkat sehingga mencecah hampir RM9 bagi botol kecil, katanya.

“Harga dan bekalan (topeng muka) masa anak beli okay lagi, masih berpatutan. Mereka pun beli di farmasi tetapi hand sanitizer susah malam tadi cari yang mini untuk kita bawa ke mana-mana tu pun tidak ada, semua kata tiada stok,” katanya.

Kes seperti yang dihadapi Kamaliah mungkin turut dihadapi ramai pihak di negara ini sekarang dan kekurangan bekalan itu dibimbangi menimbulkan pembelian panik atau ada pihak yang mengambil kesempatan menjual produk palsu dengan harga yang tinggi.

Seorang lelaki menggunakan cecair pembasmi kuman tangan berikutan penularan wabak koronavirus Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati ekoran kekurangan bekalan hand sanitizer, ramai pihak menggunakan kesempatan menjual produk yang hampir sama secara online dan disebarkan melalui media sosial.

Ternyata ia mendapat sambutan hangat walaupun harga mahal dan kesahihan kandungan di dalamnya masih diragui.- MalaysiaGazette