Asap tebal menyelubungi ruang udara Lagos selepas kilang memproses gas meletup. foto Agensi

LAGOS – Letupan di kilang pemprosesan gas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan memusnahkan kira-kira 50 bangunan.

Perbadanan Petroleum Nasional Nigeria (NNPC) berkata, letupan itu tercetus selepas sebuah trak melanggar beberapa silinder gas yang disusun dalam loji pemprosesan gas berhampiran saluran paip syarikat di kawasan Abule Ado di negeri Lagos.

Kesan letupan itu menyebabkan keruntuhan rumah berdekatan, merosakkan saluran paip NNPC dan menyebabkan syarikat itu terpaksa menghentikan operasi mengepam di saluran paip Atlas Cove-Mosimi, kata syarikat minyak milik negara dalam satu kenyataan.

Beberapa orang cedera telah dibawa ke hospital, menurut Ibrahim Farinloye, penyelaras zon untuk Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA).

Asap tebal menyelubungi ruang udara ketika pasukan bomba sedang giat memadamkan kebakaran.

Beberapa saksi memberitahu letupan telah memusnahkan lebih daripada 50 rumah kediaman.

Kebakaran saluran paip di Nigeria, pengeluar minyak mentah terbesar di Afrika, adalah perkara biasa berlaku dan kebanyakannya disebabkan oleh pencurian dan sabotaj.

Kaedah yang digunakan untuk mencuri minyak sering mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kebakaran.

NNPC berkata, paip-paip minyak akan ditutup untuk sementara waktu tetapi ia tidak akan menjejaskan bekalan kepada Lagos dan bandar-bandar berhampiran. – MalaysiaGazette