Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa kini merupakan Setiausaha Agung (SUA) Barisan Nasional yang baharu berkuat kuasa serta merta.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu dilantik menggantikan penyandangnya sebelum ini iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media berkata, perubahan itu dibuat menerusi beberapa perkara yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengambil kira situasi negara dan politik semasa negara.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini telah membuat rombakan struktur kepimpinannya. Hasilnya, ia melantik Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) sebagai Setiausaha Agung BN yang bahatu menggantikan Tengku Adnan.

“Manakala Tengku Adnan kekal sebagai Bendahari Agung BN sebagaimana sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Sahfri Ab. Azuz pula menggantikan Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN.

Menurutnya, BN juga amat mengambil berat soal keadaan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat daripada serangan Covid-19 yang mula menular di seluruh negara.

“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat agar senantiasa peka dan mengikuti perkembangan yang berlaku mengenai virus ini melalui pemberitahuan sah hanya dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Paling penting BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Juga dinasihatkan kepada seluruh rakyat agar tidak mudah mempercayai berita-berita palsu yang semakin kerap ditularkan melalui internet,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette