Viktor Axelsen (kanan) menjuarai Seluruh England d selepas menewaskan pemain Taiwan yang juga pilihan pertama, Chou Tien Chen malam tadi.

LONDON – Viktor Axelsen muncul pemain pertama Denmark memenangi gelaran Seluruh England dalam tempoh 21 tahun selepas dia menewaskan pemain pilihan pertama, Chou Tien Chen dalam aksi final malam tadi.

Axelsen yang juga finalis tahun lalu sebelum tewas kepada pemain Jepun, Kento Momota menebus kekecewaan itu dengan melakar kemenangan 21-13, 21-14 ke atas pemain Taiwan itu di Arena Birmingham.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, pemain Taiwan, Tai Tzu Ying muncul juara buat kali ketiga selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia dari China, Chen Yufei 21-19, 21-15.

Bagi acara beregu lelaki, gandingan Indonesia, Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo gagal melakar kejuaraan buat kali ketiga apabila tewas kepada Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun 18-21, 21-12, 19-21

Gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota mendominasi saingan beregu wanita selepas menundukkan wakil China, Du Yue-Li Yinhui 21-13, 21-15.

Beregu campuran Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti muncul juara selepas menewaskan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-15, 17-21, 21-8. – MalaysiaGazette