Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran diesel hydro treater unit di Pintu 1, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, malam tadi, yang meragut empat nyawa.

“Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku. Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan hati kepada keluarga mangsa,” titah baginda kepada Royal Press Office di sini.

Titah baginda itu dimuatnaik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

Sultan Ibrahim bertitah supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Pada masa sama, saya mahu langkah-langkah keselamatan di tempat kerja sentiasa diutamakan bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

“Saya juga amat berharap keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu diberikan perhatian dan bantuan oleh majikan,” titah Sultan Ibrahim.

Artikel berkaitan: Empat rentung, RAPID Pengerang terbakar

Pada kejadian kira-kira 10.50 malam tadi, loji milik Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem)  di PIC, disahkan terbakar dan berlaku letupan.

JBPM, dalam satu kenyataan berasingan, mengesahkan terdapat tujuh mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Empat ditemui rentung, seorang berjaya diselamatkan, seorang lagi terbakar 70 peratus manakala seorang lagi masih hilang.

— BERNAMA