FGV

KUALA LUMPUR- FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), anak syarikat FGV Holdings Berhad berjaya memenangi fasa pertama membekal, menyiap dan memasang menara serta sokongannya, untuk tujuan penyediaan perkhidmatan selular awam bagi projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 1 (NFCP 1) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Projek NFCP 1 adalah sebahagian daripada usaha SKMM untuk merancang dan melaksanakan peruntukan perkhidmatan sejagat di Malaysia.

Kemudahan dan perkhidmatan akan dilaksanakan di kawasan yang kurang mendapat liputan, merangkumi 93 daerah di lapan negeri dengan jumlah 152 tapak dan sasaran untuk menyediakan sambungan digital kepada sekitar 40,000 penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata FGV Prodata, adalah pembekal perkhidmatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) anak tempatan, yang pakar dalam menyatukan komponen hujung ke hujung ICT ke dalam sistem yang cekap dan padu.

“FGV berbangga kerana FGV Prodata terlibat di dalam projek ini bagi menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ia merupakan pengiktirafan bagi FGV Prodata yang berazam menjadi salah satu pemain telekomunikasi penting di negara ini dalam penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau kejayaan itu adalah selari dengan perjalanan transformasi Kumpulan FGV dalam memperluaskan pelan perniagaan baharu untuk mencipta lebih nilai.

FGV Prodata telah dipilih oleh SKMM sebagai Designated Universal Service Providers (DUSPs) bersama tiga lagi pemegang lesen di bawah projek NFCP 1.  FGV Prodata diberikan sebanyak 39 tapak, iaitu 26 tapak di Sabah dan 13 tapak di Terengganu. Tempoh pelaksanaan adalah enam bulan dari 15 Februari tahun ini.

Projek ini adalah kesinambungan kepada pencapaian FGV Prodata setelah berjaya mendapatkan lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) daripada SKMM pada tahun 2013.-MalaysiaGazette