Jururawat membersihkan kawasan menggunakan tisu basah ‘mikrozid’ bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa agar pekerja dan majikan menggunapakai seksyen-seksyen di dalam Akta Kerja 1955 susulan daripada penularan wabak Covid-19.

Antara seksyen yang boleh digunapakai ialah Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B).

Seksyen 60F Akta Kerja 1955:
Pemeriksaan kesihatan
– Mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan
oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.
Tempoh Kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi)
– Dalam setahun kalendar sekurang-kurangnya adalah seperti berikut:
i. 14 hari jika tempoh bekerja <2 tahun
ii. 18 hari jika bekerja antara 2- 5 tahun
iii. 22 hari jika bekerja >5 tahun

Cuti Sakit Bergaji
– Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi
sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan
mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Arahan Kuarantin
– Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan.
– Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F.

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955
Perintah Kuarantin
– Pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja.
– Majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah

Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah
Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja. Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan iaitu:
a. Menghadkan kerja lebih masa;
b. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan
bilangan kerja seminggu;
c. Mengurangkan waktu bekerja harian;
d. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan
gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
e. Mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan.

Kementerian itu menambah, sekiranya berlaku keadaan yang menyebabkan kemerosotan dalam perniagaan sehingga menyebabkan majikan mengambil tindakan untuk mengurangkan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja, majikan perlu merujuk Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang JTKSM iaitu http://jtksm.mohr.gov.my.

Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan berikut:-
f. Pemberhentian Pekerja;
g. Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela;
h. Pemberhentian Kerja Sementara; atau
i. Pengurangan Gaji.

Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan seperti di atas, sekiranya disabitkan kesalahan, majikan akan didenda tidak lebih daripada RM10, 000 bagi setiap kesalahan.

Katanta, JTKSM juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian Pekerja Ekoran Wabak COVID-19 di peringkat jabatan untuk merekod maklumat pemberhentian yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan wabak tersebut.

Kementerian menyeru kepada semua majikan agar membuat saringan terhadap keberadaan pekerja masing-masing dan membantu dalam mengenalpasti sama ada terdapat pekerja mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan ijtimak tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang.

Sekiranya ada, kerjasama pihak majikan dipohon agar mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan
menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut. – MalaysiaGazette