Rak telur di Mydin Mall kosong selepas orang ramai membuat pembelian panik menjelang pengumuman perintah kawalan pergerakan dalam mengawal penularan Covid-19 di Malaysia.

AKHIRNYA kerajaan terpaksa mengumumkan perintah kawalan pergerakan sebagai langkah drastik untuk mencegah dan mengawal penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan perintah kawalan pergerakan ini bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Peningkatan kes yang sangat signifikan pada setiap hari menunjukkan wabak ini semakin mengganas dan memerlukan langkah yang lebih tegas dan serius untuk menanganinya secara menyeluruh. Justeru keputusan perintah kawalan pergerakan
ini dilihat sebagai keputusan yang terbaik yang terpaksa kerajaaan buat demi menjaga keselamatan rakyat. Ironinya, kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing dan ini adalah satu-satunya cara terbaik untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Justeru kita berharap seluruh rakyat Malaysia akan berlapang dada menerima keputusan kerajaan ini. Kita akui penutupan pelbagai premis kerajaan misalnya bakal memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan mereka namun dalam
keadaan kritikal seperti ini kita perlu bertolak ansur dan memahami situasi yang sedang berlaku. Lagipun perkhidmatan kritikal dan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api,
pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan tetap diteruskan seperti biasa.

Jadi apa yang penting sekarang ialah kita mematuhi perintah ini supaya pihak kerajaan dapat mengawal penularan wabak ini dengan lebih efisien dan cepat. Harus diingat ini bukan perintah berkurung penuh yang akan menyebabkan kita tidak boleh
keluar rumah langsung kecuali pada masa tertentu yang ditetapkan sahaja. Perintah ini lebih kepada mengawal dan mengurangkan pergerakan orang agar dapat mengurangkan perhubungan serta penyebaran virus ini. Itu sebabnya semua premis kerajaan, sekolah, premis perniagaan serta perhimpunan awam yang kebiasaannya melibatkan pergerakan dan perhimpunan orang ramai ditutup dan tidak dibenarkan.
Ini termasuklah penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat.

Kita sebenarnya masih boleh keluar tetapi biarlah berpada dan mengikut keperluan sahaja terutamanya mungkin untuk membeli barangan keperluan harian sahaja. Dalam konteks ini oleh kerana pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian tidak ditutup maka hentikanlah perbuatan membuat pembelian panik. Tidak perlu kita membeli pukal atau dalam kuantiti yang terlalu banyak kerana kerajaan sudah pun berjanji akan memastikan
bekalan barangan keperluan harian akan mencukupi. Jadi harus ingat pembelian panik akan menyebabkan barangan cepat habis dan akibatnya harga akan naik mendadak. Akhirnya pengguna juga akan menerima tempiasnya. Oleh itu, sebagai pengguna kita perlu bijak berhadapan dengan situasi ini supaya tidak berputih mata nanti, serta jangan membenarkan para peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Bagi yang telah membeli tiket penerbangan ke luar negara pula mungkin marah kerana perintah ini menyebabkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Tetapi dalam keadaan kritikal ini berilah keutamaan kepada
nyawa dari keperluan untuk ke luar negara baik untuk urusan rasmi atau peribadi. Begitu juga halnya kepada rakyat kita yang baru pulang dari luar negara, sila patuhi arahan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara
sukarela (self quarantine) selama 14 hari. Jangan pula ada yang degil dan mengambil risiko sehingga boleh memudaratkan diri dan juga orang lain.

Seperti kata perdana menteri, sememangnya tindakan kerajaan ini pasti akan menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk kita menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini terpaksa diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan
wabak Covid-19 yang berkemungkinan boleh meragut nyawa rakyat negara ini. Maka sebagai rakyat yang matang dan rasional, kita perlu faham kenapa kerajaan terpaksa mengambil tindakan drastik seperti ini. Inilah masanya untuk kita bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menangani wabak berbahaya ini. Paling
tidak kita perlu bertenang dan bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan sesekali membiarkan emosi dan perasaan menguasai kita yang boleh menyebabkan kita panik, cemas, bimbang dan takut. Selagi mana kita mematuhi arahan kerajaan ini, penulis percaya wabak ini dapat dikawal dengan cepat dan akhirnya kes jangkitan
dapat dikurangkan secara mendadak. Sama-samalah kita berdoa agar rakyat dan negara ini terus dilindungi dari wabak berbahaya seperti ini.

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
TIMBALAN PENGARAH
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA