Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah  menitahkan solat Jumaat di seluruh negeri ini ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta sehingga 17 April bagi mengekang penularan penyakit Covid-19.

Solat berjemaah, aktiviti ceramah dan kuliah agama di semua masjid dan surau di negeri itu turut ditangguhkan hingga ke tarikh yang sama.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan berkata,, Sultan Sharafuddin menitahkan solat Jumaat yang ditangguhkan itu wajib diganti dengan solat zohor di rumah (atau lokasi lain) manakala laungan azan masih dilaksana seperti biasa pada setiap waktu solat.

Tetapi sekiranya wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi lebih awal daripada tarikh berkenaan, arahan baharu  akan dikeluarkan.

Menurut beliau, Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk di Selangor susulan penularan Covid-19.

Sehubungan itu langkah-langkah tersebut dikuatkuasakan mulai hari ini bagi mengurangkan impaknya,” kata Mohamad Munir.

”Langkah itu diambil hasil mesyuarat khas yang diadakan atas titah Sultan Selangor melibatkan Jabatan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Selangor bagi mendapatkan pandangan berkaitan ancaman wabak itu di negeri ini,” katanya.

Baginda juga menasihatkan rakyat Selangor supaya tidak berkumpul di tempat awam bagi mengelakkan penularan virus itu kepada lebih ramai orang.

“Baginda meminta umat Islam di negeri ini mendoakan kesejahteraan masing-masing, keluarga dan rakyat di Selangor setiap kali selepas solat serta digalakkan supaya membaca Qunut Nazilah… bagi memohon perlindungan Allah supaya wabak berkenaan segera berakhir,” tambah beliau. – MalaysiaGazette