Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengambil satu inisiatif bagi menangani ancaman wabak COVID-19 selain mengurangkan keresahan masyarakat khususnya di negeri ini dengan bersedia menggerakkan pasukan Sukarelawan Darul Ta’zim yang terdiri daripada anak muda Bangsa Johor.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu dibuat hasil perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan.

Menurutnya, sukarelawan itu akan dibahagikan kepada dua fungsi utama iaitu pasukan berkenaan akan berfungsi sebagai lidah penyebar berita terkini melalui media sosial bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan benar.

“Fungsi yang kedua, terdapat pasukan yang akan lebih fokus dengan membantu petugas di lapangan dengan syarat mereka menerima latihan yang mencukupi serta diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diberi kebenaran untuk berbuat demikian.

“Ia bertujuan bagi membantu meringankan beban petugas-petugas yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, buat masa ini, sukarelawan yang terlibat adalah terdiri daripda gabungan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Groom, dan IKLAS.

Tambahnya, seperti semua sedia maklum, dua minggu ini adalah waktu yang sukar bagi rakyat Malaysia termasuk di Johor dan beliau yakin dengan usaha kolektif bersama, dugaan itu mampu diharungi.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua supaya kita sama-sama mematuhi segala perintah dan arahan daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan berita daripada sumber yang tidak sahih,” katanya. – MalaysiaGazette.