KOTA TINGGI – Pelbagai cara dan platform terutama menerusi media sosial digunakan kerajaan termasuk wakil rakyat untuk menyampaikan mesej menyeru rakyat supaya duduk di rumah dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam sehingga 31 Mac ini.
Tidak ketinggalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang memuat naik hantaran di laman Facebook memaparkan beliau berkain pelekat dan bertshirt putih di rumah sambil memegang kertas tertera Tenang-tenang saja di rumah, #patuharahan #sedilipeduli #dudukrumah.
Menerusi posting itu juga, beliau memaklumkan semua program yang dirancang bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili terpaksa ditangguhkan.
Rasman ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, sebagai wakil rakyat beliau terpanggil untuk turut menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dapat dijalankan dengan jayanya.
“Kita sebagai wakil rakyat buat apa yang termampu, gunakan media sosial seperti Facebook untuk menyampaikan hasrat kerajaan dipatuhi kerana perkara itu adalah serius dan saya mahu rakyat terutama warga DUN Sedili mengambil peduli arahan dikeluarkan kerajaan kerana apa yang berlaku sekarang ini adalah perkara serius,” katanya.
Tegasnya, usaha menangani sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19 dengan jayanya memerlukan kerjasama semua pihak.
Sebelum itu, Rasman turut memuat naik satu poster dengan nasihat kepada warga DUN Sedili supaya sentiasa tenang dan tidak cemas ekoran pengumuman kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19.
Beliau turut menitipkan pesanan dengan membuat seruan supaya arahan serta saranan kerajaan dipatuhi seperti mereka yang bergejala segera menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Elakkan berada di tempat sesak dan perhimpunan berskala besar, sentiasa mengamalkan kebersihan diri, luangkan lebih banyak masa di rumah serta mendapatkan
berita berhubung Covid-19 daripada sumber yang sahih,” katanya.
Jika dilihat posting beliau di Facebook sebelum ini, Rasman merupakan seorang ADUN yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti bersama warga DUN Sedili selain memperuntukkan setiap Selasa atau Rabu untuk bertemu dengan rakyatnya di Pusat Khidmat ADUN Sedili. – MalaysiaGazette
















