Perintah Kawalan Pergerakan menyaksikan penurunan jumlah penumpang bas Rapid.

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd. mendapati jumlah penumpang secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 66 peratus semalam susulan hari pertama berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij berkata, bagi Rapid KL penurunan yang dicatat adalah sehingga 65.1 peratus, Rapid Penang (50.8 peratus), Perantara MRT sebanyak (75.7 peratus), Rapid Kuantan (62 peratus) dan BRT Laluan Sunway sehingga 79.5 peratus.

Jelas beliau, dengan pengurangan jumlah penumpang, mereka juga dinasihatkan mengamalkan jarak sosial (social distancing).

“Susulan hari pertama berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac, didapati jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam telah berjaya dikurangkan secara ketara.

“Ini membuktikan rakyat Malaysia dan orang ramai sedia bekerjasama untuk mematuhi arahan Kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Bagi mereka yang masih bertugas pula, jangan risau kerana perkhidmatan bas Rapid Bus masih beroperasi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan orang ramai yang tetap bekerja bagi perkhidmatan-perkhidmatan penting (essential services) sepanjang tempoh kawalan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Yazurin menambah, berikutan itu, di dalam memainkan peranan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan kakitangan, Rapid Bus akan menyusun semula kekerapan perkhidmatan bas bagi Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Manjung, Rapid Kamunting dan BRT Laluan Sunway.

Jelas beliau, penurunan kekerapan perkhidmatan berdasarkan permintaan (based on demand) secara berperingkat akan bermula pada 21 Mac 2020 sehingga diumumkan kelak.

“Di dalam masa itu Rapid Bus akan sentiasa memantau permintaan dan menasihati pelanggan-pelanggan mengenai sebarang perubahan.

“Menyentuh tentang langkah-langkah pencegahan, Rapid Bus prihatin terhadap keselamatan pelanggan dan kebersihan kenderaan, malah telah meningkatkan tahap pembasmian kuman sesuai dengan panduan daripada Perbadanan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.

Sementara itu, Rapid Bus telah mengambil initiatif tambahan untuk menggalakkan para pelanggan supaya merancang perjalanan mereka dengan bantuan aplikasi web di https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk bagi mendapatkan lokasi semasa bas Rapid KL.

Bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT, pelanggan boleh merujuk jadual terkini di laman Facebook @myrapid.

Mereka juga boleh menghubungi kami melalui saluran-saluran media sosial atau hotline kami di 03-7885 2585.

Bagi perkhidmatan Rapid Penang pula mereka boleh memuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner daripada GooglePlay. Mereka juga boleh menghubungi Rapid Penang melalui saluran-saluran media sosial atau hotline 04-2558000. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.