Luqman Hakim

KUALA LUMPUR – Pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kini dilaporkan menyertai pasukan pembangunan Selangor iaitu Selangor II, lapor Harian Metro.

Luqman yang dikhabarkan akan terbang ke pasukan Belgium, KV Kortrijk kini akan beraksi bersama-sama pasukan Selangor II berikutan proses perjalanannya ke negara itu masih lagi disekat.

Ini kerana, terdapat sekatan untuk keluar dari Malaysia akibat penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, kelibat Luqman, 18, telah dilihat bersama dengan Selangor II tetapi hanya sekadar menumpang berlatih bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

Namun, pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memandang ini sebagai satu peluang untuk pemain itu memperoleh minit bermain dengan cara beraksi untuk pasukan pembangunan mereka di Liga Premier.

Luqman kelahiran Kelantan itu dijangka beraksi untuk pasukan Selangor II sebaik sahaja Liga Premier bersambung semula.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Luqman dihalang daripada meninggalkan Malaysia.

Sebelum ini, beliau dinafikan peluang untuk berlatih bersama-sama kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City akibat masalah Visa untuk memasuki United Kingdom. – MalaysiaGazette