Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara peribadi merayu 4,000 peserta perhimpunan tabligh antarabangsa di Masjid Jamek Sri Petaling yang masih belum dapat dikesan pihak berkuasa tampil untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Tambah beliau, ahli keluarga dan individu yang pernah berhubung dengan jemaah tersebut juga perlu melakukan ujian yang sama.

“Perlu ingat, kamu tidak menyalahi apa-apa undang-undang dan tidak akan dihukum atau dikenakan apa-apa tindakan kerana perhimpunan itu tidak pernah diharamkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Walaupun kamu tak rasa sakit atau langsung tidak ada gejala penyakit Covid-19, ini tidak bermakna kamu bukan risiko kepada orang lain.

“Ini ialah kerana bukan semua orang akan jatuh sakit ataupun hanya ada gejala ringan walaupun telah dijangkit tetapi kamu masih berisiko kepada orang lain kerana kamu boleh menjangkiti orang sekeliling,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Najib, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah berkerjasama dengan pihak swasta bagi perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah.

Ini bagi membolehkan orang awam yang tidak mempunyai gejala menjalani ujian tersebut di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

Orang ramai boleh menghubungi KKM melalui talian hotline 03-8881 0200, 03-8881 0600, 03-8881 0700.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan 130 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 1,030 setakat ini dengan 26 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah 130 kes baharu itu, 48 adalah kes di bawah kluster jemaah tabligh.-MalaysiaGazette