Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Menara MARA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan menggesa pusat tahfiz dan beberapa persatuan di Kuala Lumpur yang terlibat dengan perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling tampil secara sukarela membuat saringan wabak Covid-19 dengan segera.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama mereka yang terbabiy itu amat diperlukan demi kebaikan semua rakyat secara keseluruhannya.

Jelas beliau, pihaknya melalui pelbagai agensi akan menjejaki mereka yang terlibat itu hasil maklumat yang sedia apabila terdapat organisasi yang mengetuai golongan tersebut.

“Bagi yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) atau tidak memiliki dokumen, ini bukan masanya untuk takut melakukan kesalahan tertentu.

“Begitu juga tujuh pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAWI. Ini kerana jika mereka tidak melakukan saringan, ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri sendiri tapi juga orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau mengulas usaha menjejaki kira-kira 2,000 warga asing perhimpuman Ijtimak Tabligh di Masjlid Sri Petaling bulan lalu yang dihadiri kira-kira 16,000 orang termasuk etnik Rohingya.

Mengulas lanjut Annuar memberitahu, semua pusat tahfiz dan persatuan itu sudah pun dikenalpasti dan akan dihubungi untuk dibantu dalam mematuhi prosedur prosedur saringan jangkitan Covid-19 itu.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pihaknya akan melancarkan kempen khas untuk membantu mereka yang berada di barisan seperti pihak polis.

Menurutnya, menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi lain, sebanyak RM70,000 hingga RM100,000 akan diperuntukan untuk memberi penutup muka dan cecair pembasmi kuman.

Mengulas mesyuarat yang pertama kali diadakan, Annuar berkata, perbincangan tertumpu kepada perkara berkaitan kawalan pergerakan dan status Covid-19 di kawasan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, hasil mesyuarat itu memutuskan agar ia akan diadakan secara harian dalam kumpulan kecil bagi mematuhi peraturan kawalan yang ditetapkan iaitu tidak melakukan himpunan seramai lebih 50 orang.

“Setiap hari, kami akan integrasikan laporan daripada agensi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Semua agensi ada operasi masing-masing. PDRM ada operasi pemguatkuasaan dan DBKL pula memiliki hampir 2,000 kakitangan penguatkuasa untuk pastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi. – MalaysiaGazette