Malaysia menerima bantuan lebih 20,000 peralatan perubatan dari China khusus untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Malaysia menerima bantuan lebih 20,000 peralatan perubatan dari China khusus untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya bantuan itu diterima oleh pihak Kedutaan Malaysia di Beijing menerusi Duta Besar Malaysia di sana Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan wakil PDRM Chern Lea Keong.

“Lagi bantuan peralatan perubatan! Terima kasih sekali lagi kepada China yang menyumbang 1,000 penutup mulut dan hidung, 20,000 ‘medical masks’, 100 pakaian pelindung dan 100 gogal, kali ini khusus untuk anggota Polis Diraja Malaysia PDRM pula.

“Malaysia dan China – air dicincang tidak akan putus!,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya malam ini.

Hishammuddin pada Isnin lepas telah menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian di Wisma Putra, Putrajaya, membincangkan mengenai hubungan Malaysia-China yang perlu diperkukuh demi manfaat dalam pelbagai sektor serta tumpuan terhadap usaha menangani penularan COVID-19.

Kerajaan menguatkuasakan beberapa langkah dalam usaha mengekang COVID-19 daripada terus merebak di negara ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18  sehingga 31 Mac ini yang melibatkan peranan PDRM memastikan kelancaran perintah berkenaan.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan turut akan menggerakkan ATM bermula Ahad ini bagi membantu PDRM menguatkuasakan perintah itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. cuma aku ragu2 bila dapat sumbangan dari negara asal corona, bagi kat pdrm pulok…kerisauan aku tinggi, jangan pdrm dikhianati sudahlah,..hati budi mereka itu padaku tak berapa nak percaya. Allahuakbar…Engkaulah pelindung bagi anggota kami di Malaysia ya Robb..peliharalah kami dari mereka yang berpura2 ikhlas. 🙁

Comments are closed.