KUALA LUMPUR – Sebagai langkah pencegahan daripada wabak Covid-19, pasar raya St Rosyam Mart Sdn Sdn membuat saringan kesihatan sebelum membenarkan pelanggannya membeli barang keperluan.

Pegawai Khidmat Pelanggannya, Farah Mohd Taha berkata, setiap pelanggannya perlu diperiksa kesihatan terlebih dahulu dengan pengimbas suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis.

“Itu (imbas suhu badan dan beri hand sanitizer) memang langkah pencegahan daripada syarikat kami.

“Datuk Rosyam Noor pun uar-uarkan kalau boleh pembasmi kuman untuk tangan dengan peralatan (pengimbas suhu badan) jangan terlepas.

“Sebenarnya bukan untuk kami saja, tapi untuk semua (keselamatan), kalau mereka masuk bawa virus, kami pun akan dapat sekali,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau juga berkata, bagi mengelakkan orang ramai panik dan membuat pembelian pukal, pihak membuat sekatan tertentu dan pembelian hanya dibenarkan mengikut keperluan sahaja.

“Keadaan masih terkawal, cuma panik itu biasa, di mana-mana kawasan pun orang akan terasa panik apabila tidak dibenarkan keluar di waktu malam.

“Waktu siang inilah masa mereka untuk membeli belah. Apa yang kami buat, kami cuba kawal (panik) dengan membuat sekatan laluan masuk.

“Ini untuk mengelakkan di dalam (pasar raya) berlaku kesesakan. Kita tahu dalam Perintah Kawalan Pergerakan, sesuatu kawasan tak boleh terlalu ramai,” katanya.

Ditanya tentang barang keperluan utama yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh 14 hari ini, Farah berkata, bawang, minyak, gula dan beras menjadi pilihan pelanggannya.

“Bekalan barang Alhamdulillah mencukupi setakat ini.

“Kalau pun habis, bekalan akan sampai petang sikit atau malam.

“Sudah tentu bawang, gula, minyak dan beras, teh, kopi, itu barang asas, yang pertama akan dicari oleh pelanggan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette