Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (kiri) sedang menyampaikan pesanan kepada barisan petugas pegawai perubatan di Pusat Kesihatan UTeM, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus prihatin dan proaktif dalam memastikan keselesaan dan kesihatan pelajarnya.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihak pengurusan UTeM terus mengawal dan memantau para pelajarnya secara dekat sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKN) dan membendung wabak pandemik itu.

Antaranya pihak UTeM turut membuat penempatan semula pelajar di asrama agar dapat dipantau dengan lebih lancar dan sistematik.

Katanya, kaedah itu dilihat seiring menjayakan hasrat kerajaan bagi Kawalan Pergerakan sepenuhnya selain penyediaan Food Bank kepada pelajar yang tinggal di asrama seperti roti dan air turut disediakan.

Menurut Raha, bagi mantapkan kawalan penularan pandemik Covid 19 juga beberapa langkah tambahan lain turut diambil seperti setiap penghantaran makanan ke UTeM mestilah melalui proses imbasan suhu di pintu masuk utama universiti.

“Polis Bantuan UTeM turut melaksanakan imbasan suhu kepada staf dan pelajar masuk ke UTeM. Sementara itu orang awam tidak dibenarkan masuk ke UTeM bermula18 Mac lalu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi urusan perubatan dan Kesihatan pula
Pusat Kesihatan UTeM dibuka sehingga jam 5 petang setiap hari dengan barisan pegawai perubatan yang sentiasa dalam keadaan bersedia sepanjang masa.- MalaysiaGazette