Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memeriksa kenderaan semasa sekatan jalan raya Ops Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Tol Damansara, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 21 MAC 2020

PETALING JAYA – Penyebaran berita palsu tidak membantu menimbulkan kesedaran rakyat terhadap pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tindakan itu hanya menimbulkan rasa gelisah dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Itu lah, berita palsu ini menyebabkan orang panik. Apa yang perlu orang ramai lakukan ialah sahkan dahulu berita yang ditularkan itu.

“Setakat ini maklumat-maklumat yang diberikan sudah memadai untuk pengetahuan orang ramai.

“Setiap hari ada kenyataan daripada menteri, pengarah kesihatan, Ketua Polis Negara dan sebagainya.

“Semua maklumat diberikan, itu maklumat yang sebetulnya, bukan maklumat yang ditularkan,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran. Plaza Tol Damansara, di sini, malam ini.

Terdahulu, beliau menyertai operasi sekatan jalan raya yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula dari 9 malam dan berakhir 11.30 malam semalam.

Beliau mengulas insiden pada 17 Mac lalu apabila orang ramai membuat pembelian panik barang keperluan selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan PKP berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi juga menafikan wujud pembelian panik pada hari keempat pelaksanaan kuarantin di rumah selama 14 hari itu.

“Sebenarnya tiada pembelian panik, memang ada pergi ke pasar raya tapi lebih ramai.

“Mungkin sudah jadi kebiasaan budaya macam tu hari Sabtu keluar beli belah, tapi bukan dalam jumlah banyak.

“Macam hari itu berlaku pembelian panik, kali ini tiada. Dia beli sekadar keperluan,” katanya.

Sementara itu, Arjunaidi juga menganggarkan tahap kesedaran orang awam terhadap pematuhan PKP masih rendah dan Selangor sahaja hanya mencacatkan 85 peratus.

“Setakat ini 85 peratus dan masih lagi (rendah) lebih baik (rakyat Selangor) daripada negeri lain.

“Di Selangor memang kita pergi ke gerai-gerai dengan bantuan PBT dan sebagainya untuk kuatkuasa kan PKP tapi kita tak ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa membuat sekatan jalan, bukan untuk mengambil tindakan, sebaliknya memastikan orang ramai tidak keluar tanpa keperluan mustahak.

“Operasi kita untuk mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak perlu di mana ada yang keluar untuk bersantai, tak kira waktu dan sebagainya.

“Kita nak beri kesedaran kepada mereka tentang bahayanya Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette