Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Norsham Mat Tap selepas meninjau Op Covid-19 pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Guthrie, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 540 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah membantu polis Selangor dalam penugasan sekatan jalan raya dan rondaan pada hari kelima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Norsham Mat Tap, pihak ATM sentiasa bersedia membantu Polis Diraja Malaysia supaya rakyat lebih faham betapa pentingnya mengekang penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Dianggarkan kira-kira 540 anggota ATM terlibat dalam pelaksanaan PKP meliputi 16 buah daerah di seluruh negeri Selangor.

“Selain daripada sekatan jalan raya, kita turut membantu pihak polis menjalankan rondaan MPV. Jadi saya harap kerjasama ini dapat memberi impak besar terhadap PKP yang sudah masuk hari kelima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memantau sekatan jalan raya Op Covid-19 di Lebuh Raya Guthrie di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sebarang penggunaan aset ketenteraan ketika tempoh PKP, beliau menjelaskan penugasan tersebut bukanlah operasi untuk membanteras musuh dan tiada keperluan berbuat demikian.

“Ini bukan operasi membanteras musuh tetapi musuh kita adalah kuman (virus Covid-19), jadi kita tidak gunakan aset tetapi kekuatan anggota kerana kita mahu nasihat rakyat supaya jangan keluar dan perlu duduk di rumah sepanjang tempoh PKP ini,” katanya. – MalaysiaGazette