Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu sentiasa mengambil maklum impak ekonomi yang dihadapi rakyat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, kerajaan negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Covid-19 Fasa 2 sebagai langkah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pengecualian sewaan dan bayaran di bawah seliaan kerajaan negeri akan dilaksanakan bagi April dan Mei ini untuk meringankan beban mereka yang terlibat.

Jelas beliau, antara yang terlibat penangguhan bayaran sewa ialah Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk dua bulan iaitu April dan Mei 2020.

“Selain itu, bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan Terengganu juga dikecualikan bagi bulan April 2020,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memutuskan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Terengganu dan bayaran sewa bulanan Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020.

Ini juga, katanya, termasuk penangguhan bayaran sewa bulanan bagi premis perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020.

“Diharapkan pengumuman ini dapat meringankan beban yang dihadapi ketika PKP ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast