KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM ) terkejut dengan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 19 Mac lalu yang pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima masuk ke Institusi Pendidikan Guru sejak tahun 2011.
Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku walaupun bersyarat kerana UEC benar-benar bercanggah dengan Dasar Pendidikan Nasional.
Tegas beliau, QIAM menyokong usaha kerajaan memantapkan keharmonian antara agama dan bangsa, tetapi jika ada usaha parti politik atau pun NGO yang bertentangan dengan aspirasi tersebut pihaknya akan bangkit menentangnya.
“Bagi QIAM, sijil UEC jelas menghancurkan perpaduan nasional dan keharmonian kaum.
“Usaha mengiktirafnya oleh Dong Jiao Zong dilihat sebagai menggoncang teras perpaduan nasional dan mengiktifaf sijil itu sama seperti mengiktiraf kewujudan dan perjuangan pertubuhan ini.
“Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis, cauvanis, provokatif dan ekstremis. NGO ini hanya memperjuangkan kepentingan kaum Cina sahaja dan patut diharamkan,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.
Rabu lalu, sebuah portal Islam dan Melayu, Ismaweb mendedahkan Kementerian Pendidikan didapati mengeluarkan iklan pengambilan khas Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan Kepujian bagi calon laluan khas UEC.
KPM dikatakan turut mempelawa lulusan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti program tersebut.
Program itu dikhususkan untuk melatih bakal guru di IPG yang ditetapkan kementerian dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah rendah.
Menurut Sirajuddin, QIAM meragui kualiti produk UEC, di mana mereka telah ditanam sifat perkauman, anti-perpaduan nasional dan tiada nilai patriotik sejak hari pertama di bangku sekolah.
Bak kata pepatah Melayu, katanya, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, malah beliau tidak terkejut jika ajaran komunisma juga diterapkan kepada pelajar UEC.
“Bagaimana kita boleh mengharapkan petualang bangsa untuk mendidik anak bangsa kita? Sejarah tidak akan menipu kita. Puak petualang bangsa ini adalah penentang keras terhadap sistem pendididkan negara.
“Penentangannya bermula dengan Penyata Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan 1957, Kertas Putih Pelajaran 1954 dan Penyata Razak 1956. Seterusnya, Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961,” katanya.
Beliau berkata, QIAM menyokong tuntutan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang menggesa Menteri Pendidikan yang baharu segera bertindak membatalkan pengambilan pelajar Sijil UEC dan seterusnya menolak semua usaha untuk mengiktiraf sijil itu di Malaysia.
Katanya, QIAM juga menyeru menterinya, Senator Dr. Mohd Radzi Md. Jidin memberi lebih fokus menggerakkan usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui peningkatan tadbir urus dan peruntukan kepada sekolah luar bandar yang daif serta kebajikan guru. – MalaysiaGazette

















Setuju dgn cadangan QIAM dan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan supaya membatal pengambilan pelajar UEC serta menolak pengiktirafan kpd Sijil UEC. Kerana sukatan pelajaran mereka tidak mengguna pakai sukatan pelajaran KPM. Penegasan KPM khususnya dan kerajaan adalah sangat dihargai. Dong Jiao Zong adalah persatuan yg menunjukkan sikap perkauman yg sangat menebal. Kerajaan perlu sedar dan tegas jika ingin melihat keharmonian dlm negara. Usah memikirkan tentang “political mileage” melebihi keperluan negara dan majoriti rakyat!