KUALA LUMPUR – Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) komited mengekalkan akses produk dan perkhidmatan farmaseutikal penting kepada orang ramai.

Presidennya Chin Keat Chyuan berkata, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) PhAMA telah mengadakan beberapa perbincangan dengan kerajaan untuk meminimumkan gangguan kepada perniagaan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sangat menyokong syarikat-syarikat ahli PhAMA yang mahu terus beroperasi semasa tempoh PKP.

“Panduan daripada MITI telah membolehkan syarikat-syarikat ahli PhAMA mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin berkata, persatuan itu yang mewakili 45 syarikat tempatan dan multinasional akan bekerjasama rapat dengan MITI dan kementerian lain bagi membantu Malaysia mengharungi krisis COVID-19 dan bangkit kembali dengan segera selepas pandemik ini berakhir. – MalaysiaGazette