Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Ketika Malaysia dan seluruh dunia berdepan dengan penularan pandemik Covid-19, bukan masa sesuai untuk rakyat bertelagah, bersengketa dan berpolitik.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, apa yang harus rakyat lakukan ialah bersama dengan kerajaan mengekang penularan wabak itu.

Namun, katanya, agak menyedihkan dalam keadaan negara dan dunia bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19, masih ada suara sumbang mempertikai kewibawaan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Sebagai Presiden Suara Anak Pahang, saya menyokong keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih Dr. Adham sebagai Menteri Kesihatan.

“Saya melihat beliau pilihan terbaik menerajui kementerian itu berdasarkan pengalamannya sebagai doktor perubatan dan tabah menangani wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau meminta pimpinan Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Amanah dan PKR memberikan kerjasama kepada Dr. Adham menguruskan situasi negara, bukan menghentamnya.

Kata beliau, kecaman dan kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah, apatah lagi membantu menenangkan rakyat dalam situasi sekarang.

“Bukan masanya untuk kita berpolitik, kalau soal itu diambil kira oleh pimpinan PH, rakyat juga berhak mempersoalkan tindakan yang dilakukan mereka di awal penularan Covid-19.

“Saya nyatakan ini bukan mahu mencari salah mana-mana pihak, tetapi sekadar ingin memperingatkan, tidak perlulah kita menuding jari di saat genting ketika ini,” katanya.

Haslihelmy berkata, sebagai rakyat Malaysia, mereka perlu mewujudkan kesepakatan dalam menangani isu Covid-19 sebelum negara dilanda gelombang ketiga.

“Marilah bersama kita membantu kerajaan dan Dr. Adham bagi menggalas tugas getir menangani wabak yang boleh membawa maut ini.

“Semua ini perlu kita lakukan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast