Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meminta semua penumpang tren elektrik (ETS) No. 9173 membuat saringan kesihatan di hospital berdekatan jika terdapat gejala berkaitan CoVid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, ini kerana salah seorang mangsa wabak itu telah menaiki tren tersebut dari Stesen Butterworth ke Stesen Kuala Lumpur Sentral pada 7 Mac lepas.

“Warganegara Malaysia berusia 70 tahun itu merupakan mangsa ke-11 dan telah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, kelmarin,” katanya dalam satu
kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya telah menghentikan operasi perkhidmatan tren terbabit dan kerja-kerja disinfeksi telah dilakukan ke atas tren tersebut.

Tambahnya, sebagai langkah tambahan, semua tren ETS juga telah menjalani proses disinfeksi bagi keselamatan para penumpang dan kakitangan.

“Semua petugas syarikat yang berada di dalam tren serta stesen-stesen terlibat juga telah diarahkan untuk membuat ujian saringan kesihatan,” ujarnya.

KTMB akan terus memantau pengoperasian tren-trennya dan sentiasa melaporkan perkembangan semasa tersebut kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia, ujar Kamarulzaman.

Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi media sosial di Facebook (KTM Berhad), Twitter (@ktm_berhad) atau portal rasminya di www.ktmb.com.my.

Mereka juga boleh menghubungi talian Pusat Panggilan di 03-22671200 bagi sebarang perkembangan terkini. – MalaysiaGazette