Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Seri Mazlan Lazim bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia menasihati orang ramai yang keluar rumah ketika memantau penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dicadangkan supaya menghadkan waktu operasi premis perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata langkah itu adalah bagi mengurangkan bilangan pekerja asing yang bekerja premis barang basah dan sayur-sayuran yang berurusniaga.

Katanya, dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan awam di pasar tersebut, aktiviti penglibatan ramai termasuk pekerja asing di setiap premis di pasar berkenaan tidak diperlukan untuk mengurangkan risiko pandemik Covid-19 dan memutuskan rantaiannya.

“Di Pasar Borong KL ini, terdapat ramai pendatang asing yang memiliki Kad UNHCR dan dokumen perjalanan yang sah dan bekerja di setiap kedai di sini keseluruhannya berjumlah 440 buah kedai borong.

“Kalau setiap kedai menggunakan khidmat lima pekerja asing bayangkan secara keseluruhannya lebih 2,000 pekerja asing terlibat urusan setiap hari dan saya rasa bilangan pekerja begitu ramai tidak diperlukan ketika orang ramai sudah kurang berkunjung di sini disebabkan Covid-19.

“Pekerja asing yang begitu ramai bekerja dan pada satu masa boleh menambah risiko dari aspek sosial distance (penjarakan sosial) dan adakah saya cadangkan supaya PBT hadkan bilangan pekerja dalam satu gerai termasuk waktu operasi mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Shanmugam telah hadir ke pelaksanaan Op Covid sekatan jalan di pasar borong berkenaan.

“Kita tak mahu pekerja asing ini bekerja dalam suasana rapat dan sesak…kena ada sosial distancing. in tak termasuk pembeli lagi. Kita akan cadangkan kepada PBT secepat mungkin dan jika mereka boleh bersetuju bolehlah melaksanakannya.

“Yang penting kita mahu kawal keadaan dan mengurangkan pergerakan awam semaksimum mungkin khususnya di kawasan tumpuan ramai seperti Pasar Borong ini,” tegas Mazlan lagi.-MalaysiaGazette