Foto Facebook Royal Press Office.

KUALA LUMPUR – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menghasilkan sebuah potret lukisan ‘TERIMA KASIH’ sebagai menghargai komitmen serta tanggungjawab petugas-petugas perubatan di semua hospital dan klinik di seluruh Johor.

“Kepada doktor, jururawat dan semua kakitangan di semua hospital dan klinik di Johor. Anda adalah wira kami,” – nukilan kata-kata motivasi oleh Permaisuri Johor menerusi hasil potret lukisan.

Hasil karya baginda diserahkan kepada Pengarah Hospital Permai, Dr. Norazam Harun oleh wakil Royal Press Office (RPO) semalam.

Norazam turut merakamkan penghargaan di atas keprihatinan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor.

“Kita amat terharu dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Ibrahim dan Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah yang telah mengurniakan makanan, kini sebuah lukisan pula. Ia menjadi pembakar semangat kepada kami semua, semoga wabak ini berakhir secepat mungkin, InsyaAllah.

“Kita mohon seluruh rakyat agar mendoakan kami serta semua petugas di barisan hadapan ini agar sentiasa sihat dan menjalankan tugas sebaiknya,” katanya di laman Facebook RPO. – MalaysiaGazette