KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memanggil semua agensi utama bawah kementerian itu untuk menjayakan idea Wilayah Cakna secara bersepadu.
Kata beliau, agensi utama itu adalah yang berkeupayaan tinggi dalam membantu golongan miskin bandar, penjaja, penduduk rumah PPR, asnaf dan gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Kementerian saya telah memperuntukan kira-kira RM35 juta dalam melaksanakan idea Wilayah Cakna ini,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau semalam.
Annuar juga berkata, beliau akan membuat pengumuman berperingkat Rabu ini selepas membentangkan nota kepada Kabinet.
“Kerajaan, khususnya kementerian ini akan berikhtiar habis-habisan membela warga Wilayah Persekutuan, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette
















