Tedros Adhanom Ghebreyesus. foto AP

GNEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa wabak Covid-19 sedang merebak dengan meluas selepas lebih 300,000 orang disahkan mengalami virus tersebut.

Ia mengambil 67 hari daripada kes pertama Covid-19 dilaporkan untuk mencecah 100,000 kes, hari ke-11 untuk 100,000 yang kedua dan empat hari untuk 100,000 yang ketiga.

Tetapi Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, masih ada kemungkinan berlaku perubahan jejak, justeru beliau menggesa negara-negara melaksanakan strategi ujian dan menjejaki kontak.

“Apa yang paling penting ialah apa yang kita lakukan. Anda tidak boleh memenangi perlawanan bola sepak dengan mempertahankan diri, anda mesti menyerang,” katanya pada sidang akhbar.

Dr Tedros terus meminta orang ramai untuk tinggal di rumah dan melaksanakan langkah-langkah penjarakkan sosial untuk memperlahankan penyebaran virus itu.

Namun, beliau menyifatkannya “langkah-langkah pertahanan itu tidak akan membantu orang ramai menang”.

“Untuk menang, kita perlu menyerang virus dengan taktik yang agresif dan disasarkan – menguji setiap kes yang disyaki, mengasingkan dan menjaga setiap kes yang disahkan dan menjejaki dan kuarantin setiap kontak rapat.”

Dr Tedros turut melahirkan kebimbangan dengan laporan dari seluruh dunia bahawa sejumlah besar kakitangan perubatan dijangkiti virus itu disebabkan kekurangan peralatan pelindung diri yang mencukupi.

“Para pekerja kesihatan hanya boleh melakukan pekerjaan mereka secara efektif apabila mereka dapat buat dengan selamat.Walaupun kita melakukan segala-galanya dengan betul, jika kita tidak mengutamakan melindungi pekerja kesihatan, banyak orang akan mati kerana kakitangan kesihatan yang boleh menyelamatkan nyawa orang lain telah jatuh sakit,” katanya. – MalaysiaGazette