Yayasan Hydrocephalus Negara dengan kerjasama Cloverush mengedarkan tudung di Hospital Sungai Buloh.

KUALA LUMPUR – Ketika seluruh dunia termasuk Malaysia sedang berusaha menangani wabak Covid-19 semakin ramai pihak menghargai pengorbanan golongan barisan hadapan negara.

Tidak ketinggalan, Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN) mengedarkan sebanyak 700 tudung bagi kegunaan jururawat dan doktor di Wad Covid-19,  Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.

Kerjasama dengan pengusaha skaf tempatan, Cloverush itu turut menyediakan sarapan pagi kepada pasukan perubatan dan pesakit tersebut.

Afidatul Na’ima Abd Hamid (kanan).

Selain itu, YHN menerusi inisiatif syarikat Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd. turut menyumbangkan susu formula Anmum kepada pesakit kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19.

Nilai sumbangan yang terkumpul bagi misi kali ini keseluruhannya berjumlah kira-kira RM70,000.

Sumbangan itu antara lainnya adalah bagi memastikan kebersihan staf hospital sentiasa di tahap tertinggi dan juga menghargai tenaga dan bakti seluruh kakitangan Hospital Sungai Buloh yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

“Buat masa ini, negara kita menghadapi situasi yang amat getir namun seluruh kakitangan kesihatan negara kita masih komited dengan tugas bagi memastikan kita semua sihat dan selamat.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada seluruh kakitangan perubatan di Malaysia kerana mereka inilah yang berjuang di barisan hadapan negara,” kata Pengurus Besar YHN, Leftenan Mohd Hisyam bin Sah Nuddin TLDM (B).

Sebanyak 700 tudung diedarkan bagi kegunaan jururawat dan doktor.

Sementara itu, pengusaha serta pengasas skaf Cloverush, Afidatul Na’ima Abd Hamid berkata, idea untuk menyumbang skaf itu timbul selepas melihat majoriti kakitangan di bahagian perubatan ini terdiri daripada golongan wanita.

“Derma tudung ini adalah bagi memastikan kebersihan mereka terjaga selain memastikan mereka mendapat keselesaan maksimum bagi melancarkan lagi tugas mereka sepanjang memerangi wabak Covid-19.

“Semoga usahasama ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan membantu meringankan beban petugas perubatan. Teruskan berjuang demi negara,” katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 1,518 kes jangkitan dan 14 kes kematian telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari telah bermula sejak Rabu lalu sehingga 31 Mac di seluruh negara untuk mengawal dan mengurangi jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia.

Sementara itu, YHN ditubuhkan untuk memberi tumpuan khusus kepada pesakit yang menghidapi penyakit hidrosefalus di dalam Malaysia.

Pesakit hidrosefalus merupakan salah satu golongan yang terdedah dengan wabak Covid-19 ketika ini kerana golongan ini mempunyai tahap imunisasi yang rendah. – MalaysiaGazette