Andrew Cuomo.. foto Agensi

NEW YORK – Gabenor New York merayu supaya dibekalkan bekalan perubatan kerana Covid-19 merebak dengan cepat – lebih pantas berbanding ‘bullet train’.

”Klimaksnya lebih tinggi daripada apa yang dijangka dan ia muncul lebih awal daripada yang diramalkan,” kata Andrew Cuomo.

Beliau mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak menghantar perkakasan keperluan untuk mengekang krisis.

New York kini berdepan dengan 25,000 kes positif Covid-19 dengan 210 kes kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Amerika Syarikat berpotensi menjadi pusat pandemik koronavirus.

Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump menaruh harapan untuk membuka semula aktiviti perniagaan bulan depan.

”Kami memerlukan bantuan dan kami memerlukan bantuan dari persekutuan sekarang.

”New York menjadi kawasan pertama, apa yang berlaku di New York akan berlaku di California dan Illinois, ia hanya menunggu masa sahaja,” kata Cuomo.

Beliau turut membidas pentadbiran kerana menghantar 400 ventilator ke New York.

”Anda memilih 26,000 orang yang akan mati kerana menghantar hanya 400 ventilator,” katanya.

New York memiliki 7,000 ventilator dan memerlukan 30,000 lagi. – MalaysiaGazette