KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan bantuan barangan keperluan harian berjumlah RM960,000 di bawah Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Tiga.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan perkara itu berkata, tambahan peruntukan itu adalah bagi menangani kesan penularan wabak Covid-19 kepada golongan terjejas.
“Pakej ini adalah tambahan kepada Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Satu dengan peruntukan sejumlah RM640,000 serta Fasa Dua yang melibatkan beberapa program penangguhan dan pengecualian bayaran,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, peruntukan tambahan itu melibatkan RM30,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk 600 keluarga terjejas akan dikenal pasti oleh Pusat Khidmat Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Kata beliau, keutamaan adalah kepada keluarga yang tiada gaji tetap serta tiada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bantuan segera ini diberikan hanya kepada rakyat yang amat memerlukan berupa pakej barangan keperluan makanan harian seperti beras, sardin dan seumpamanya bagi setiap keluarga.
“Kerajaan negeri juga akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat akibat wabak Covid-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.
“Bersama kita berdoa supaya negara segera pulih dari wabak ini seperti sedia kala,” katanya. – MalaysiaGazette
















