Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mahu hospital swasta turut menawarkan fasiliti yang ada kepada hospital kerajaan dalam usaha bersama menangani penularan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia banyak hospital swasta yang mempunyai kemudahan canggih dan khidmat doktor pakar.

“Pihak hospital swasta disarankan memainkan peranan dalam tempoh gawat dan kecemasan ini untuk turut serta dalam membantu negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, terang beliau, tahap kemampuan di 26 hospital kerajaan dan satu hospital universiti amat terhad iaitu dengan jumlah katil yang terhad sebanyak 3,400 dan 300 katil ICU dan ditambah pula dengan kekurangan kakitangan yang terpaksa bekerja lebih masa serta mengalami keletihan melampau.

“Negara memerlukan fasiliti tambahan untuk khidmat perubatan terutamanya saringan dan rawatan, ambulans, doktor dan kakitangan.

“Amat tidak molek jika semua hospital awam penuh sesak sampai tidak mampu menangani pemeriksaan, namun bangunan hospital swasta lengang dan tidak membantu negara,” ujarnya lagi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) zaman krisis ini bukan masa untuk mengutip untung.

“Pekerja dan rakyat berkorban, tiada pendapatan maka bukan waktu yang sesuai untuk hospital swasta memikirkan atau menghitung soal untung rugi. Mereka harus menghulurkan segera khidmat untuk negara ini.

“Hospital swasta dicadangkan sekurang-kurangnya untuk membuat saringan Covid-19 secara percuma atau kos paling minimum kepada mana-mana rakyat yang memerlukan.

“Hospital swasta yang mempunyai fasiliti mencukupi juga boleh menjalankan saringan dari rumah ke rumah di kawasan zon merah wabak Covid-19,” katanya.

Jelas beliau, perkara ini dilakukan di Korea Selatan iaitu mereka menjalankan antara 12,000 hingga 20,000 ujian pengesanan COVID-19 termasuk menggunakan pendekatan pandu lalu dan mereka melawan COVID-19 dengan teknologi Big Data dan kecerdasan buatan (AI).

“Sekarang masanya semua pihak menggembleng tenaga membantu negara. Negara memerlukan sumbangan kita semua dalam apa cara sekalipun,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Malaysia perlu naik taraf semua Hospital Kerajaan menjadi hospital yang setanding dengan swasta, mungkin kerajaan kena pinjam sementara sekolah-sekolah Asrama yang mempunyai beratus-ratus katil untuk dijadikan hospital.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.