BNM

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan beberapa langkah pengawalan dan penyeliaan untuk menyokong usaha institusi perbankan membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat menangani kesan akibat wabak Covid-19.

Penangguhan dan penstrukturan semula kemudahan pinjaman/pembiayaan adalah seperti berikut:

I. Pinjaman/pembiayaan kepada individu dan PKS

Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat Covid-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Tawaran ini diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh 3 tahun dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan.

Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada.

II. Pinjaman/pembiayaan kepada syarikat korporat

Institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka dengan cara yang membolehkan syarikat korporat berdaya maju mengekalkan pekerja dan menyambung semula aktiviti ekonomi dengan cepat apabila keadaan menjadi bertambah baik.

Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit syarikat korporat.

Bank telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dengan mengambil kira gangguan bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.