Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka sebanyak 370 kertas siasatan berhubung penipuan siber yang mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan ke atas orang ramai semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 individu telah ditahan polis untuk tindakan selanjut.

“Kami telah mengenalpasti perbuatan tidak bertanggungjawab individu menipu orang ramai di siber sepanjang penguatkuasaan PKP, jadi 370 kertas telah dibuka dan disiasat polis.

“Daripada jumlah itu, 25 tangkapan dilakukan dan 11 daripadanya kes itu berjaya dituduh di mahkamah,” katanya  dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) mengenai Sambutan Hari Polis Ke-213 yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

Menurut Abdul Hamid, penipuan siber itu membabitkan kerugian berjumlah hampir RM3 juta.

Tambah beliau, polis memandang serius jenayah siber tersebut dan siasatan diteruskan bagi mencegah jenayah itu daripada terus berlaku.

“Kita tegas dan siasat (jenayah siber) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sedang memfokuskan kepada perkara ini (langkah mencegah),” ujarnya. – MalaysiaGazette