Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menyeru semua pemimpin sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang bersoladiriti dengan melupakan kepentingan politik kepartian sementara waktu.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19, mereka sepatutnya bersama-sama menyumbang tenaga serta pandangan berguna membantu mencegah dan menyelesaikan masalah itu.

Jelas beliau, ketika ini negara memerlukan kerjasama semua pihak dalam menjayakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama dari setiap rakyat yang masih tidak mematuhinya seratus peratus.

“Di sinilah peranan mereka yang mempunyai pengikut menggunakan kredibiliti dan tanggungjawab membantu rakyat mematuhi PKP serta meringankan beban rakyat yang terhimpit dengan beban ekonomi ketika ini.

“Ahli Parlimen dan ADUN perlu cakna dengan kesusahan rakyat yang mungkin sudah terputus bekalan makanan mahupun kewangan meruncing ketika ini kerana tidak boleh bekerja seperti biasa.

“Ini masa untuk bersoladiriti dan mengambil tahu kesusahan rakyat terutama golongan M40, peniaga kecil dan mereka yang tidak mempunyai akaun KWSP atau Socso,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Asmah Razalli

Dr. Asmah menjelaskan, mereka antara kelompok majoriti penyumbang kepada ekonomi negara selama ini, selain kesusahan golongan B40 yang perlu dimasukkan dalam bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Wirawati Putra juga berharap bantuan zakat di setiap negeri sebagaimana dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sampai kepada sasaran tanpa banyak karenah birokrasi.

“Kita juga berharap tiada rakyat yang terputus bekalan makanan mahupun keperluan asas semata-mata kerana tidak mendapat bantuan dan menjadi tanggungjawab pemimpin untuk cakna masalah dan tahu keadaan rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Mengenai kes Covid-19, Dr, Asmah memberitahu, jika rakyat tidak mematuhi larangan PKP dengan lebih serius, Malaysia bukan sahaja bakal berdepan kes kematian dan kadar jangkitan yang lebih tinggi, malah masalah ekonomi pasti membebankan terutama di kalangan rakyat.

“Kita mendoakan semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, polis, anggota tentera dan lain-lain mendapat keutamaan oleh kerajaan dan kebajikan mereka terbela.

“Wirawati Putra juga berharap semua pemimpin berlainan parti politik boleh bekerjasama melupakan politiking dan fokus dengan cara mencegah serta membantu setiap rakyat dalam menghadapi pandemik di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette