Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan berani kerajaan mengumumkan lebih awal mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipuji.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia memberikan ruang dan masa untuk rakyat lebih bersedia.

“Saya secara peribadi menyambut baik pengumuman ini kerana kesihatan rakyat lebih penting. Saya sedar ramai yang mengeluh kerana PKP ini telah memberi impak yang sangat besar terhadap punca pendapatan rakyat terutama golongan B40.

“Justeru, saya amat berharap inisiatif-inisiatif dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh YAB PM semalam dan beberapa lagi pada hari Jumaat ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Sebelum ini, ekoran penularan pandemik yang semakin meningkat di negara ini, kerajaan telah memutuskan Perintah tersebut bermula pada 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dalam masa yang sama merayu kepada rakyat Malaysia untuk kekal mematuhi PKP.

“Duduk di rumah diam-diam, stay at home. Beri kerjasama yang sepenuhnya kerana hanya dengan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dapat menghentikan penularan virus Covid-19,” ujarnya.- MalaysiaGazette