Robert Levinson

NEW YORK – Bekas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Robert Levinson yang hilang di Iran 13 tahun lalu telah meninggal dunia di sana.

Perkara itu dimaklumkan oleh keluarga Robert dalam satu kenyataan.

“Ia sukar untuk menggambarkan kesedihan kami,” kata keluarga itu.

Dakwa mereka, Robert meninggal dunia sebelum berlakunya pandemik koronavirus.

Robert, tebusan paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dilaporkan hilang pada tahun 2007 di Pulau Kish, Iran.

Ketika itu, Robert bekerja bagi pihak misi Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang tidak disahkan.

Beliau bersara dari FBI pada tahun 1998 tetapi bekerja di Kish sebagai penyiasat persendirian, memantau penyeludupan rokok di rantau itu.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesyaki dia diculik oleh tentera perisikan Iran untuk digunakan dalam berurusan dengan Washington. – MalaysiaGazette