Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad kagum dengan ketokohan Nabi Muhammad kerana kejayaan Baginda menukarkan bangsanya dari jahil kepada cekap sehingga berjaya membina satu tamadun yang terkenal di dunia.

Ketika berkongsi pandangan itu dengan artis dan ahli perniagaan, Neelofa, beliau berkata, Baginda adalah contoh yang cukup baik sehingga mempengaruhi fikiran dan sekali gus menjadi sumber inspirasi kepadanya.

“Kalau nak kata secara benar tak ada sesiapa yang lebih saya utamakan dari Nabi Muhammad SAW itu sendiri, kerana dia (Baginda) adalah orangnya yang menukar bangsanya daripada jahil kepada yang begitu cekap sehingga dapat mendirikan satu tamadun yang terkenal di dunia.

“Ini satu contoh yang cukup baik dan selain dari itu ada juga tokoh lain dalam sejarah, umpamanya seorang Tsars Rusia yang menukar negara itu dari mundur kepada negara maju. Orang ini mempengaruhi fikiran saya dan menjadi inspirasi kepada saya,” katanya dalam temubual lintas langsung menerusi Instagram Neelofa hari ini.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir turut memegang nasihat dan pesanan ibunya, jika bertemu seseorang terlalu lama akan mengganggu kerja mereka.

Sebab itu, katanya, ketika menjawat jawatan Perdana Menteri keempat pada tahun 1981, beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada 2003 kerana tidak mahu ada pihak lain bosan dengan kepimpinan selama 22 tahun itu.

“Ibu saya berkata (pesan) kepada saya, jangan, kalau pergi ke mana-mana duduk terlalu lama kerana orang ada kerja lain, kita mengganggu kerjanya.

“Sebab itu apabila saya dah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun, saya berpendapat bahawa mengikut nasihat ibu saya, eloklah saya pergi (letak jawatan), jangan orang lain bosan dengan saya.

Menjawab soalan, Mahathir berkata, satu tabiat beliau ketika memimpin kerajaan ialah memastikan buku kecil sentiasa ada dengannya.

Ini kerana, katanya, beliau tidak boleh mempercayai kepada ingatan semata-mata kerana ia akan lupa.

“Kita tak boleh percaya kepada ingatan kita. Kita selalu lupa. Sebab itu apabila kita lihat sesuatu yang menarik, kita catatkan, dengan itu kita tidak akan lupa.

“Dan buku ini (buku kecil) mempunyai segala apa yang saya lihat dalam perjalanan saya, perbincangan saya dan dalam pembacaan saya, saya catat sedikit perkataan yang memberi peringatan kepada kita, akan apa yang telah saya baca ataupun lihat.

“Ini menjadi panduan kepada saya dan semasa saya menjadi Perdana Menteri. Saya gunakan buku itu untuk memperingati ahli-ahli Jemaah Menteri berkenaan dengan apa yang mereka tidak buat, mereka harus buat dan sebagainya,” katanya.

Berhubung cabaran yang dihadapi sepanjang menjadi orang nombor satu negara, Tun. Dr. Mahathir memberitahu, beliau sebolehnya tidak mahu memikirkan masalah dihadapi sepanjang masa kerana tindakan itu boleh mengganggunya.

Ujar beliau, kalau selalu memikirkan hal di belakang, ia akan membawa banyak masalah dan tidak akan dapat mengatasinya.

“Kita harus berpegang bahawa semua masalah akhirnya dapat diatasi lambat launnya. Kalau kita fikir berkenaan masalah ini sehingga tidak lalu makan dan sebagainya, ia tidak membawa kepada resolusi mengenai masalah itu.

“Lebih baik kita anggap (masalah) ini perkara biasa, kerana lambat laun ia akan diselesaikan. Sebab itu saya terpaksa hadapi banyak masalah, tapi lambat laun kita dapat atasinya,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga mengamalkan disiplin diri yang tinggi dengan mengawal diri dan nafsu kerana jika diikut kehendak hati akan mendorong untuk melakukan perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri sendiri.

Beliau memberi contoh, disiplin diri juga dapat mengawal kehendak serta perasaan diri terutama ketika negara sedang berhadapan dengan penularan wabak virus Covid-19 ketika ini.

“Dengan disiplin yang tinggi, kita boleh menerima sekatan seperti tidak boleh bergerak, tidak boleh keluar rumah dan sebagainya. Yang penting, kita tahu sekatan ini akan tamat juga akhirnya.

“Walaupun sekatan itu mengambil masa, tetapi kalau mereka kuat mengawal perasaan, nafsu dan keinginan, ia akhirnya akan selesai,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tabiat yang tidak dapat dipisahkan dalam hidupnya ialah membaca buku sejarah, novel, surat khabar dan majalah.

Katanya, menerusi tabiat itu, beliau dapat menimba dan mengetahui banyak sejarah luar negara dan yang boleh dipraktikkan akan diterjemahkan untuk kepentingan negara.

“Saya baca buku, saya tak boleh duduk kalau tak buat apa-apa. Macam mana pun mesti ada surat khabar ataupun majalah ataupun buku novel untuk saya baca.

“Bila baca ini, saya berasa masa tidaklah begitu membosankan. Saya baca banyak jenis buku terutamanya berkenaan dengan sejarah. Saya baca berkenaan dengan sejarah, empayar orang Monggolia kerana ada kaitan dengan sejarah negara kita dan apa berlaku di sana mempunyai kesan selepas itu kepada negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Lawak lah…entah apa-apa ntah…sudah2 lah buat cerita nanti org salah anggap pula tentang nabi saw yg mulia…ko perangai buruk tetiba kata nabi saw sbg sumber inspirasi..nab saw tak buruk perangai macam ko…jadi jgn jatuhkan mertabat nabi saw.

  2. Tuntut bin janji.
    Satu jari arah tun
    4 jari kediri sendiri.

    Tun ada juga beri kebajikan pada negara ini.

    Awak apa.
    Setakat nama sendiri pun tak terurus.
    Apalagi nak mentadbir negara.

    Stay at home
    #asalbukanmuhyidin

  3. Dah usia 95 tahun masih ingatkan dunia. Sepatutnya selalu kat masjid bukan nak berkuasa lagi. Ajaran mana Tun ikut ni. BERTAUBATLAH BANYAK2 TUN

  4. Ape yg atok bela syiar Islam, orang2 Islam, dan membena ekonomi orang2 Islam di Malaysia semasa atok jadi pm 22 bulan? Yang ada atok membiarkan Islam di Malaysia diejek, di persenda, intitiusi yang berkaitan dengan umat Islam khususnya orang2 melayu, telah di musnahkan oleh kerajaan 22 bulan di bawah pimpinan atok. Suara bantahan dari rakyat yang mengangkat atok jadi pm pun tak di hirau. Atok masih sebuk nak kumpul harta dunia dan kuasa untuk melindungi diri, keluarga dan kroni2nya. Sekarang ni bertopengkan sifat2 terpuji Rasullullah yang tiada tolok banding nya diantara maknusia yang wujud di dunia ini. Rasullullah ialah seorang Insan, bukan maknusia biasa macam atok.. Kan malu bagi kita jika mengiakan apa yang atok cakapkan dan di siarkan di media masa. Dari semua segi, atok bak kata pepatah, JAUH PANGGANG DARI API untuk menjadikan Rasullullah kita sebagai inpirasi atok. Bak dialog dalam filem P. Ramlee… APA YANG KO MEREPEK NI LABU…

Comments are closed.