HSBC Group

KUALA LUMPUR – HSBC Malaysia mengumumkan faedah untuk pinjaman konvensional termasuk keuntungan ke atas pembiayaan Islam tidak akan dikompaun dalam tempoh moratorium.

Tawaran itu membabitkan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bank itu – HSBC Bank Malaysia Bhd serta HSBC Amanah Malaysia Bhd.

Menurut HSBC, tawaran ini adalah sebahagian daripada moratorium automatik yang ditawarkan untuk membantu pelanggan yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan penangguhan enam bulan untuk semua pinjaman atau pembayaran balik pembiayaan bermula 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne berkata, bank itu terus menyokong Malaysia dan memantapkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam usaha membantu komuniti mengharungi situasi sukar.

”Untuk pelanggan runcit dan PKS, pinjaman konvensional serta keuntungan ke atas pembiayaan Islam tidak akan dikompaun semasa tempoh moratorium.

”Ini merupakan langkah tambahan yang diambil oleh HSBC Malaysia untuk pelanggan runcit dan PKS berhubung langkah penangguhan pinjaman/pembiayaan yang diumumkan oleh BNM, yang mana faedah masih akan terakru dan dikompaunkan untuk pinjaman konvensional (tidak termasuk pinjaman sewa beli) tetapi keuntungan dari pembiayaan Islam adalah terakru tetapi tidak dikompaun.

Milne menambah, hanya akaun tidak terjejas sahaja yang layak untuk ditawarkan moratorium.

Moratorium ini terpakai kepada semua pinjaman/pembiayaan tertunggak pada 1 April 2020.

Untuk pelanggan korporat, tambahnya, HSBC akan membuat kajian semula berdasarkan kes tertentu dan menggalakkan mereka menghubungi bank melalui pengurus perhubungan mereka.

“Sila ambil perhatian bahawa hanya akaun tidak terjejas sahaja yang layak untuk moratorium. Moratorium ini terpakai kepada semua pinjaman/pembiayaan tertunggak pada 1 April 2020. – MalaysiaGazette