Tuan Kamaruddin mengaminkan doa yang dibaca oleh Muhyiddin ketika mengumumkan lanjutan tempoh PKP.

KUALA KRAI – Pakcik ini setia berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Bagi mengisi masa berkurung di rumah, Tuan Kamaruddin Raja Husin, 70-an, dari Kampung Sri Mahligai, Dabong, kira-kira 100 kilometer dari sini, menjadikan televisyen sebagai temannya.

Namun, agak menarik, setiap kali televisyen mengulang siar rakaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca doa, beliau tidak pernah lupa untuk mengaminkannya.

Menurut Tuan Kamaruddin, beliau mematuhi sepenuhnya arahan PKP dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai penularan wabak Covid-19 menerusi televisyen dan radio.

“Saya tidak dapat bersama dengan barisan hadapan, saya hanya mampu mengaminkan doa yang dibaca oleh Perdana Menteri ini agar Allah menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya dari dijangkiti virus Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette di rumahnya.

Semalam, Muhyiddin dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung meneri televisyen dan radio melanjutkan perintah PKP sehingga 14 April ini berikutan kes baharu yang tinggi direkodkan setiap hari.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri mengakhiri dengan membaca doa agar negara ini dan rakyatnya diselamatkan oleh Allah dari penularan wabak penyakit berjangkit. – MalaysiaGazette