Anggota Polis membuat pemeriksaan keatas kenderaan pada sekatan jalan raya Ops Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Lebuhraya Guthrie Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih tegas berbanding peraturan sedia ada.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob berkata langkah ini diambil selepas PKP dilanjutkan kepada 14 April 2020 dan hasil pelaksanaannya sebelum ini mendapati masih ramai yang ingkar kepada perintah kerajaan yang mahu mengekang  menularan Covid-19.

Jelas beliau, antara prosedur yang akan diperketatkan ialah prosedur pembelian.

“Fasa pertama kita lihat walaupun ada sekatan tapi seolah ada perkara-perkara yang dibenarkan. Ada pengecualian-pengecualian.

“MKN telah pun diminta mengeluarkan SOP yang baru yang mana peraturannya akan jadi lebih tegas daripada peraturan yang ada hari ini

“Jadi mungkin selepas ini banyak sekatan-sekatan akan dikenakan. Sama ada dari segi pembelian, membeli belah, membeli makanan dan sebagainya.

“MKN akan mengeluarkan SOP yang lebih tegas bagi memastikan langkah yang kita perkenalkan ini berjaya untuk menyekat penularan Covid-19,” katanya ketika sidang media harian mengenai langkah kerajaan mengekang wabak Covid-19 hari ini.

Menurut Ismail, perkara tersebut akan diperincikan pada mesyuarat Jawatan Kuasa Khas Keselamatan yang akan diadaklan pada malam ini.

Ia akan dipengerusikannya bagi mendapatkan pandangan beberapa pihak penting terutamanya Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Pengarah MKN, ujarnya.

Menerusi laporan perkembangan semasa yang diterimanya dari pihak polis hari ini, Ismail mendapati pematuhan rakyat terhadap PKP adalah pada tahap 95 peratus.

Meskipun jumlah itu tinggi namun beliau menyifatkan masih ramai yang ingkar terhadap arahan yang dikeluarkan.

Katanya, melalui sekatan-sekatan jalan raya yang dibuat semalam, sebanyak 163,487 buah kenderaan diperiksa di 1,719 lokasi.

Manakala 110 tangkapan dibuat polis, katanya. – MalaysiaGazette